Sejarah / Latar Belakang Amalan EKSA IABCU
Amalan EKSA merupakan penjenamaan semula Amalan 5S oleh MAMPU yang diperkenalkan pada tahun 2014. Amalan 5S yang telah digunapakai dalam sektor awam sejak tahun 2010 telah dibuat penambahbaikan oleh MAMPU dengan memasukkan beberapa elemen baharu bagi memenuhi keperluan semasa dalam pengurusan ekosistem di sektor awam serta lebih kepada berjenama Malaysia. Penjenamaan semula ini bukan bermaksud untuk menggantikan konsep 5S tetapi bertujuan menambahbaik elemen 5S tersebut dengan menyokong kepada pewujudan persekitaran kerja yang lebih kondusif.
Dalam konteks ini, IAB tidak terkecuali. Sejak tahun 1997, IAB menggunakan ISO dalam sistem pengurusannya berasaskan standard MS ISO 9001:2000 dan seterusnya kepada MS ISO 9001:2008. Sistem pengurusannya dipanggil Sistem Pengurusan Berkualiti dan IAB berdaftar dengan satu badan persijilan iaitu ‘INTERTEK’ yang dahulunya dikenali sebagai ‘MOODY INTERNATIONAL’ .
Berasaskan kepada MS ISO 9001:2008, amalan 5S merupakan antara elemen penting di dalam beberapa Prosedur Kualiti (PK) seperti Prosedur Kualiti Sokongan 04 - Persekitaran Kerja; Prosedur Kualiti Operasi 02 - Pemilihan & Pelaksanaan Kursus dan Prosedur Kualiti Operasi 05 - Persekitaran Tempat Latihan. Prosedur kualiti tersebut diwujudkan bagi menterjemahkan satu keperluan mandatori sebagaimana yang dinyatakan di dalam standard MS ISO 9001:208 pada Seksyen 6.3 dan 6.4, iaitu Pengurusan Infrastruktur dan Persekitaran kerja.
Seterusnya pada 30 September 2011, pihak Pengurusan Tertinggi IAB telah mengeluarkan arahan supaya Amalan 5S dipergiatkan lagi untuk mewujudkan persekitaran yang lebih berkualiti. Sejak daripada tarikh tersebut, pihak IABU mula melaksanakan Amalan 5S secara lebih berstruktur dan menuju ke arah pensijilan oleh MAMPU. Walau bagaimanapun pihak IAB Induk telah terlebih dahulu mendapat pengiktirafan dan dipersijilkan di bawan Amalan 5S oleh MAMPU pada tahun 2012. Kemudiannya IAB Cawangan Utara telah dipersijilkan oleh MAMPU pada 15 Februari 2015 di bawah EKSA.