Institut Aminuddin Baki (IAB) adalah sebuah institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sejarah penubuhan IAB yang dahulunya adalah dikenali sebagai Malaysian Educational Staff Training Institute (MESTI) pada Mac 1979. Lokasi MESTI pada masa itu bertempat di Bahagian Pendidikan Guru telah berpindah ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada bulan Ogos 1979 sehingga September 1980. Pengurusan MESTI telah diterajui oleh Dr. Chew Tow Yow selaku Pengetua dan Dr. Mohd. Yaacob Haji Mat Nong sebagai Naib Pengetua. Kemudiannya berpindah pula ke Blok 1, Kompleks Pantai Puri, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke kampus rasminya di Sri Layang, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur pada bulan Mac 1985. MESTI kemudiannya dikenali sebagai Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN) pada tahun 1985 selaras dengan perkembangan pesatnya dan serentak dengan perpindahan operasinya ke kampus induk pada masa itu di Sri Layang, Genting Highlands. Pada 14 Mac 1988 YB Menteri Pendidikan Malaysia telah mengisytiharkan nama baru IPPN kepada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Aminuddin Baki (Penasihat Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu) terhadap pembangunan dan perkembangan dalam bidang pendidikan negara Malaysia. Kampus ini terletak di atas tapak seluas 48.6 hektar dan telah mula beroperasi sejak Mei 1985. Perasmian IAB Genting Highlands telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin A-Mu’adzam Shah pada 20 oktober 1988. Peranan dan tanggungjawab IAB dalam bidang pendidikan terus berkembang sehingga mempunyai beberapa cawangan iaitu Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) terletak di Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah. Pewujudan Kampus Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara mula diilhamkan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Pendidikan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Kementerian Pendidikan pada 22 November 1989. Pada bulan Februari 1990, IAB Cawangan Utara diarah menggunakan kemudahan Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah sebagai kampus cawangan. Keputusan ini dibuat semasa mesyuarat mengambil alih kampus sementara UUM di Bandar Darul Aman telah diadakan pada Januari 1990 di UUM yang dipengerusikan oleh yang Berbahagia Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman bin Arshad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada masa itu. Pada bulan Mei 1991, IAB Cawangan Utara beroperasi dan telah melaksanakan program latihan menggunakan tenaga pengajar dari pensyarah-pensyarah kampus Induk. Pada 1 Januari 1996 IAB Cawangan Utara telah mendapat kelulusan perjawatan baru dan En. Zulkifli bin Bahari telah dilantik sebagai Pengetua pertama. Pada tahun 2005, IAB Cawangan Utara telah diluluskan pertambahan beberapa perjawatan baru dan gelaran jawatan bagi Pengetua kampus telah ditukarkan kepada Pengarah. Manakala cawangan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak (IABCSWK) mula beroperasi secara pentadbiran di Kampus Universiti Pertanian, Cawangan Bintulu pada tahun 1996 hingga 1998. Pada 27 Disember 2005, IABCS beroperasi secara pentadbiran di Kuching dengan menggunakan dua buah bilik darjah di SK Sungai Maong Hilir. Kini, cawangan ini telah berpindah ke kampus tetap di Jalan Sultan Tengah, Santubong, pada 14 Oktober 2013. Sebagai sebuah institusi latihan pengurusan dan kepimpinan khusus dalam bidang pendidikan, IAB mempunyai komitmen dan tanggungjawab besar bagi menghasilkan organisasi pendidikan yang berkualiti selaras dengan aspirasi negara Malaysia. Pada Februari 2014, Kampus Induk IAB di Sri Layang, Genting Highlands telah berpindah ke kampus induk baharu bertempat di Kompleks Pendidikan Nilai,Bandar Enstek, Negeri Sembilan dengan menjadikan IAB di Kampus Sri Layang sebagai IAB Cawangan Genting Highlands (IABCGH). Kemudiannya, penubuhan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah (IABCSBH) telah bermula apabila pihak pengurusan IAB Induk mengemukakan dan membentangkan Kertas Cadangan penubuhan IAB Zon Sabah dalam Mesyuarat Profesional KPM Bil 1/2010. Hasil permuafakatan bersama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah maka premis Pejabat Pelajaran Daerah Kota Kinabalu, Bukit Padang, Kota Kinabalu telah diperolehi daripada Pengarah Pelajaran Negeri Sabah. Pada 25 Februari 2014, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Sektor Pelajaran (JTPK), yang dipengerusikan oleh YBhg Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad, Ketua Setiausaha (KSU) KPM telah meluluskan peruntukan untuk pengoperasian IAB Cawangan Sabah menggunakan kabin (kaedah pasang siap). Keluasan pembinaan pejabat pasang siap IAB Cawangan Sabah adalah dianggarkan 7.04 ekar. Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh YB Datuk Mary Yap Kain Ching pada 21 Mac 2015 bertempat di tapak Kampus IAB Cawangan Sabah. Majlis penyerahan bangunan pasang siap IAB Cawangan Sabah daripada pihak JKR kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang disaksikan oleh Pengarah Institut Aminuddin Baki, Puan Hajah Serina binti Sauni telah disempurnakan pada 26 Februari 2016. Peranan IAB Cawangan semakin berkembang merangkumi program-program bersepadu di peringkat institusi, daerah, kebangsaan dan antarabangsa serta kursus-kursus khas pada peringkat serantau dan antarabangsa. Matlamat IAB adalah untuk membina dan membangunkan profesionalisme dalam kepemimpinan dan pengurusan pendidikan yang akan membantu membangunkan sistem pendidikan kebangsaan keseluruhannya.