ALLAHYARHAM AMINUDDIN BAKI DALAM KENANGAN (26 Januari 1926 – 24 Disember 1965) Allahyarham Aminuddin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di Kg Batu Sembilan, Chemor, Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik serta berpengalaman. Allahyarham Aminuddin Baki belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941. Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur yang pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin Baki telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan persatuan pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej di Singapura. Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union dan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, beliau dan pemimpin pelajar lain telah mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948. Walau bagaimanapun pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya, Singapura. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera. Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Allahyarham Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan. Selepas pulang ke tanah air beliau ditawarkan jawatan pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar ialah dengan memperkenalkan Sejarah Islam. Pada bulan September 1955 Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman. Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau turut aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 pada usia muda 39 tahun kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu allahyarham menjawat jawatan Ketua Penasihat Pelajaran. KEISTIMEWAAN TOKOH Aminuddin Baki merupakan tokoh pendidikan dan pejuang Bahasa Melayu yang unggul sehingga dikenali sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia" . Beliau ialah pelopor kepada penulisan esei kritikan yang lantang dan berani. Catatan beliau bertulisan jawi yang menggambarkan sikap dan perjuangannya dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Catatan tersebut yang masih tersimpan di Arkib Negara diberi tajuk ’Anak Kandung, Anak Angkat’ mungkin novel yang akan dikarangnya. Beliau ingin menyedarkan masyarakat Melayu supaya menjaga hak dan harta pusaka yang dimiliki agar tidak tergadai di tangan penjajah dan kaum pendatang. Aminuddin Baki bukan sekadar pendidik malah birokrat dan perancang yang memiliki semangat nasionalis yang tinggi. Pejuang Melayu tulen ini banyak memberi sumbangan dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan mempelopori pelbagai aspek pendidikan negara seperti kurikulum, bahasa pengantar, pentadbiran dan Falsafah Pendidikan Negara. Tidak hairanlah, Aminuddin Baki dikenali sebagai ‘ensiklopedia bergerak’ kerana pelbagai perkara berkaitan pendidikan seperti latihan perguruan, sistem pelajaran, biasiswa, perpustakaan, pendidikan teknik dan sebagainya berada di dalam pengetahuannya. Beliau sememangnya memiliki pengalaman, minat dan kesungguhan dalam menyediakan tapak kepada sistem pendidikan kebangsaan. Allahyarham Aminuddin Baki bertindak pantas dan bijaksana dengan memperkenalkan Sejarah Islam. Beliau cuba membawa dan membuka pemikiran pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) tentang soal ketuhanan dan falsafah Islam. Melalui teknik dan pendekatan serta hujah-hujah yang bernas melalui pengetahuan keislamannya telah berupaya membuka fikiran dan cara berfikir pelajar-pelajarnya. Ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pendidik yang berjaya kerana ilmu yang diterima tanpa keupayaan untuk dibicarakan dan digunakan maka isi pengajaran akan menjadi beku dan kosong. Sikap orang Melayu yang enggan menyesuaikan diri dan tidak berani merebut peluang bagi memaju dan mempertingkatkan kemajuan mereka menjadikan beliau sebagai seorang pengkritik masyarakat. Beliau memperjuangkan idea dan cita-citanya tanpa mengharapkan balasan atau menghiraukan ancaman yang diterima. Allahyarham amat peka dengan kelemahan sistem pendidikan yang ada pada masa itu. Baginya sistem tersebut menggalakkan prasangka dalam kalangan kanak-kanak berbagai keturunan. Aspirasinya untuk melihat sistem pendidikan yang mana kanak-kanak belajar di bawah bumbung yang sama, kurikulum dan bahasa pengantar serta membuat aktiviti bersama telah melahirkan satu sistem iaitu Sistem Pendidikan Kebangsaan Tanah Melayu (The National School of Malaya). Cadangan ini jelas menunjukkan beliau seorang yang progresif, semangat kesedaran dan keilmuan yang tinggi serta mempelopori sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai misi dan visi. Kebimbangan dan kerisauan beliau terhadap masa depan bangsa Melayu sentiasa terungkap. Di antaranya “ Jangan suatu hari nanti ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Alah sabung menang sorak, ayam menang kampung tergadai “. Memandangkan keperluan negara pada masa itu adalah dari segi aspek ekonomi dan sosial, beliau telah merancang susunan sistem pendidikan kebangsaan yang selari dengan keperluan masyarakat. Disamping itu perluasan bidang-bidang lain juga turut dilakukan tanpa mengorbankan perkembangan di bidang kemasyarakatan. Beliau telah berjaya meletakkan asas pendidikan nasional yang terus berkembang sejajar dengan aspirasi dan keperluan sebuah negara yang merdeka. Asas-asas tersebut ialah menyediakan kemudahan belajar yang baik, pelajaran rendah percuma, pendidikan dalam aliran kebangsaan di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi, perkembangan institusi pengajian tinggi yang pesat, rancangan pendidikan guru yang tersusun, pertambahan bilangan guru dan lain-lain. Sumbangan Aminuddin Baki yang penting ialah bagi mewujudkan aliran sains di sekolah menengah Melayu bagi memperbanyak lulusan aliran ini dalam kalangan anak Melayu pada peringkat yang lebih tinggi di universiti. Usaha beliau ini telah berjaya melahirkan graduan Melayu daripada aliran Melayu dan aliran sains yang sebelum ini dinafikan oleh sistem pendidikan penjajah. Justeru, amat tepat jolokan 'Arkitek Pendidikan Negara' diberikan kepada beliau. Selain seorang pemidato dalam bahasa Melayu yang baik, Aminuddin juga boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Inggeris, Jepun, Cina dan Arab. Cita-citanya untuk membangunkan bangsa Malaysia baru dapat dicapai melalui sistem pendidikan yang dirancang dengan teliti bagi mencapai matlamat tersebut. Pandangan jauh serta minat dan tumpuannya terhadap pendidikan serta kesedaran masa depan telah menjadikan beliau sebagai seorang pendidik yang berjaya. Oleh kerana itulah beliau digelar sebagai Bapa Pendidikan Moden Malaysia (The Father of Modern Education in Malaysia). Tiada miskin seorang pelajar kerana sedikit harta dan keluarga Tetapi miskin seorang pelajar kerana sedikit ilmu dan amal Tiada kaya seorang hartawan kerana banyak harta dan keluarga Tetapi kaya seorang hartawan kerana banyak ilmu dan amal - Allahyarham Aminuddin Baki