PENDAHULUAN
Institut Aminuddin Baki (IAB) telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan keupayaan pengurusan dan kepimpinan pendidikan melalui program latihan dan pembangunan yang terancang. Justeru itu, bagi memastikan kualiti program yang disediakan terjamin, pada 24 April 2008, YB. Menteri Pelajaran Malaysia telah memberikan mandat kepada IAB menjadi sebagai Premier Centre dalam bidang latihan dan pembangunan serta pewujudan Badan Penganugerahan Sijil Kejurulatihan Profesional (Master Trainer) dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Program Master Trainer adalah selaras dengan hala tuju baharu Institut Aminuddin Baki yang dikenali sebagai Lanskap Premier Centre IAB 2012 – 2016 yang mengandungi tiga Bidang Keberhasilan Utama atau Key Result Areas (KRA) iaitu Master Trainer (MT), Learning and Development (L&D) dan Centre of Reference (CoR).
Master Trainer (MT) ialah bidang kritikal yang dirangka bagi melonjakkan kecemerlangan Institut Aminuddin Baki bagi memastikan kualiti program Learning and Development dapat dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti. Hal ini membolehkan IAB menjadi pusat rujukan pengurusan dan kepimpinan pendidikan bagi memperkasa tubuh ilmu pengurusan dan kepimpinan watan melalui usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan serta penulisan. Mengikut standard MS ISO 9001: 2008 Klausa 6.2 Sumber Manusia, anggota organisasi yang melaksanakan tugas yang memberi kesan keakuran kepada keperluan produk hendaklah mempunyai kecekapan melalui pendidikan, latihan, kemahiran dan pengalaman yang sesuai. Latihan yang dikendalikan oleh pensyarah akan memberi kesan langsung atau tidak langsung pada kualiti pengurusan organisasi pendidikan demi mencemerlangkan institusi pendidikan negara. Dengan kewujudan jurulatih yang bertauliah, adalah diharapkan program latihan dan pembangunan yang disediakan dapat menjamin mutu latihan seperti yang diharapkan.
KERANGKA MASTER TRAINER
Program Master Trainer IAB diwujudkan bagi melahirkan trainer dan coach yang bertauliah, kompeten dan berupaya melaksanakan program latihan dan pembangunan kepada pengurus dan pemimpin pendidikan. Kerangka pengoperasian Master Trainer adalah seperti dalam Rajah 2. Kerangka Master Trainer menggambarkan dua bidang utama MT, iaitu Training dan Coaching. Pengetahuan asas yang diperlukan bagi semua MT ialah pengetahuan dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan (ELM), bidang pembelajaran dan pembangunan (Learning & Development) dan Etika (Ethics) Master Trainer. Setiap pengamal profesional boleh memohon untuk ditauliahkan dalam mana-mana bidang MT sama ada Training atau Coaching setelah memenuhi prasyarat yang ditetapkan. Latihan dan pembangunan profesional sama ada melalui inisiatif organisasi ataupun inisiatif individu pada dasarnya dapat mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Seterusnya mereka layak memohon untuk ditauliahkan dalam mana-mana bidang yang diingini. Untuk melayakkan mana-mana jurulatih ditauliahkan sebagai MT, satu program pentaksiran MT perlu dijalani oleh mereka bagi mengukur sejauh manakah pengetahuan dan kemahiran masing-masing supaya mencapai standard kompetensi yang ditetapkan.
Proses latihan dan pembangunan MT secara berterusan dan pengalaman yang diperoleh dapat memberikan peluang kepada setiap MT untuk mencapai pentauliahan MT yang lebih tinggi baik, iaitu Certified MasterTrainer mahu pun Certified Master Coach. Dalam konteks yang sama, seseorang MT yang sudah ditauliahkan dalam komponen trainer boleh memohon untuk ditauliahkan dalam bidang coaching supaya pengetahuan dan kemahiran mereka dapat dipertingkatkan. Keluwesan sebegini membolehkan IAB menghasilkan MT yang mempunyai dwikepakaran dalam komponen Trainer dan Coach bagi melatih dan membangun pengurus serta pemimpin pendidikan. Ini juga akan menggalakkan budaya pembangunan profesional secara berterusan dibangunkan di samping memberi kebebasan kepada mana-mana individu untuk memilih hanya satu bidang kepakaran MT sahaja terutama bagi mereka yang berkhidmat di luar IAB khususnya pegawai di KPM, JPN, PPD dan sekolah.
KOMPETENSI UMUM DAN PRASYARAT MASTER TRAINER
Pensijilan MT berasaskan kepakaran jurulatih dalam dua komponen iaitu Trainer dan Coach yang merangkumi empat jenis pensijilan iaitu Certified Trainer, Certified Master Trainer, Certified Coach dan Certified Master Coach. Terdapat kepakaran yang tertentu yang diperlukan bagi setiap jenis pensijilan.
Bagi melayakkan seseorang untuk ditauliahkan sebagai MT terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi iaitu syarat am dan syarat khusus. Syarat am meliputi pengetahuan aspek asas dalam pembelajaran dan pembangunan sebagaimana yang terpapar dalam Jadual 1.
MODEL KOMPETENSI PEMIMPIN SEKOLAH MALAYSIA
Bagi merealisasikan Pensijilan MT IAB, program latihan berasaskan pertumbuhan untuk membangunkan profesional Trainer dan Coach dalam bidang pembangunan individu dan pembangunan organisasi diwujudkan. Program latihan pembangunan profesional kejurulatihan membantu pensyarah IAB dan pemimpin pendidikan (Pengamal KPP) bagi meningkatkan kompetensi mengikut keperluan secara terancang dan berterusan.
Penyertaan dalam program latihan profesional kejurulatihan ini merupakan pra-syarat am bagi kelayakan pensijilan MT. Setiap kumpulan akan mengikuti program yang berbeza sesuai dengan kompetensi dan pengalaman masing-masing. Pembinaan kapasiti Trainer dan Coach dilaksanakan melalui dua pendekatan iaitu inisiatif organisasi dan inisiatif individu.
Inisiatif individu lebih menjurus kepada usaha-usaha di peringkat individu pensyarah untuk sentiasa meningkatkan kompetensi mereka bagi membolehkan mereka meningkat ke tahap MT yang lebih tinggi. Inisiatif ini bertujuan untuk membina MT yang dapat menghayati konsep pembelajaran sepanjang hayat dan membugarkan konsep komuniti pembelajaran profesional. Inisiatif ini dijalankan bagi membolehkan seseorang yang pakar dalam mana-mana satu kompetensi kepimpinan sekolah.
Inisiatif organisasi pula merujuk kepada latihan pembangunan kejurulatihan terancang yang ditawarkan oleh IAB bagi melengkapkan keperluan asas pengetahuan dan kemahiran berasaskan kurikulum latihan MT .