Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Selamat datang dan terima kasih saya ucapkan kepada para pengunjung Laman Sesawang Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands (IABCGH). Sejarah penubuhan Institut Aminuddin Baki bermula pada Mac 1979 dengan nama Malaysian Educational Staff Training Institute (MESTI). Penubuhannya tercetus hasil Laporan Jawatankuasa Kabinet Kajian Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979 yang bertujuan untuk memantapkan sistem pengurusan dan kepimpinan pendidikan negara. Selaras dengan visi IAB iaitu sebagai pusat pembangunan kepimpinan pendidikan terbilang, usaha membangunkan kompetensi pemimpin pendidikan secara berterusan adalah menjadi agenda utama. Latihan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan sama ada secara bersemuka mahupun secara maya sentiasa diperkemas selari dengan tuntutan semasa agar dapat dijadikan sebagai survival ilmu dan pemetaan pemikiran dalam mengembangkan karakter positif serta budaya fikir para pemimpin Pendidikan. Abad ke-21 menjadikan dunia semakin mencabar. Ledakan teknologi pada zaman Revolusi Industri 4.0 ketika ini menghambat kita untuk turut berlari pantas seiring dengan perkembangannya. Ketidaktentuan dunia atau dikenali sebagai VUCA WORLD ditambah lagi dengan cabaran pendemik COVID 19 yang melanda telah menuntun kita ke suatu dunia yang luar biasa. Namun, kita tidak dapat mengelak malah perlu mendepani arus globalisasi melalui kaedah pendidikan yang relevan dengan normal semasa. Justeru, selaku pemimpin pendidikan, kita harus menangani ketidaktentuan ini dengan wadah yang bijaksana dan wasilah yang terpimpin. Akhir kata, saya menyeru kepada semua pemimpin pendidikan agar dapat mempersiapkan diri serta memperlengkap minda dalam usaha menjadi pemimpin pendidikan berprestasi tinggi kerana ianya ibarat benih yang subur, apabila dicampak ke darat akan menjadi bunga, dibuang ke laut menjadi pulau dan apabila dilambung ke langit menjadi kejora’. Sekian. Terima kasih. Pengarah CawanganInstitut Aminuddin Baki Cawangan Genting HighlandsKementerian Pendidikan Malaysia