LAWATAN DELEGASI DEPARTMENT OF EDUCATION AND TRAINING HO CHI MINH CITY, VIETNAM
Tarikh: 13 Julai 2017
Tempat: IAB Bandar Enstek
Urus setia: Jabatan Hubungan Kerjasama Pendidikan Antarabangsa (JHKPA)
Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, Negeri Sembilan, telah menerima kunjungan rasmi daripada Department Of Education And Training, Ho Chi Minh City, Vietnam pada 13 Julai, 2017 (Khamis), jam 9.30 pagi. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk mendapatkan maklumat tentang latihan dan khidmat yang ditawarkan oleh pihak IAB.
Delegasi seramai 42 orang ini terdiri daripada Pengetua, Guru Besar, pentadbir sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah dan Pegawai Pendidikan Negeri serta seorang juru bahasa (penterjemah).
Sesi bergambar bersama Timbalan Pengarah Khidmat Latihan IAB dan Ketua-ketua Pusat bersama semua ahli delegasi diadakan di pintu masuk lobi utama IAB.
Rombongan delegasi dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama. Majlis dimulakan dengan ucapan rasmi Puan Hajah Nor Asiah Bt Ibrahim, Ketua Pusat Pentaksiran dan Kepimpinan Pendidikan yang menanggung kerja Timbalan Pengarah (Khidmat Profesional). Seterusnya, Encik Nguyen ‘Bao Nghiep yang mewakili pihak delegasi Vietnam menyampaikan ucapan balas. Tetamu kemudiannya dipertontonkan dengan tayangan video korporat IAB dan diikuti dengan sesi soal jawab. Penerangan diberikan kepada delegasi tentang latihan-latihan yang terdapat di IAB dan yang ditawarkan kepada pihak luar. Upacara pertukaran cenderamata antara kedua- dua pihak IAB dan wakil delegasi Vietnam mengakhiri majlis ini.
Rombongan delegasi telah dipecahkan kepada 2 kumpulan untuk lawatan ke bilik latihan. Kumpulan yang pertama telah dibawa ke bilik 303 Utara untuk melihat bagaimana taklimat e-Pembelajaran NPQEL dijalankan oleh Tuan Haji Muhammad Khairiltitov Bin Zainuddin. Manakala kumpulan kedua telah dibawa ke bilik 402 Selatan untuk melihat bagaimana Modul Asas NPQEL dikendalikan oleh Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim.
Jamuan ringan disediakan di ruang lobi auditorium IAB sebelum delegasi berangkat pulang pada jam 11.30 pagi.
MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL LATIHAN DAN PEMBANGUNAN (KHAS) 2017
Tarikh: 11 Julai 2017
Tempat: Bilik Mesyuarat Utama, IAB Bandar Enstek
Urus setia: Jabatan Pengurusan Inovasi dan Standard Latihan (JPISL)
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Latihan dan Pembangunan (Khas) 2017diadakan pada 11 Julai 2017 pukul 8.30 pagi bagi tiga (3) pembentangan berikut:
- Kursus Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas - Mengubah suai reka bentuk pukal latihan
- Kursus Pengurusan Kewangan Sekolah Dalam Talian - Mengubah suai reka bentuk pukal latihan
- Kursus Pemikiran Komputasional - Laporan rintis
Seramai 25 orang hadir pada mesyuarat ini yang terdiri daripada ahli tetap, ahli jemputan, panel penilai dan para pembentang. Mesyuarat dipengerusikan oleh Encik Mohd Zanal bin Dirin, Pengarah IAB Cawangan Utara.
Mesyuarat menerima dan akan mengangkat ketiga-tiga kursus untuk diperakukan dalam Mesyuarat Lembaga Pengajian.
BENGKEL SEMAKAN DAN PEMURNIAN PERPINDAHAN VERSI MS ISO 9001:2015 BIL. 1/2017
Tarikh: 28 Februari - 2 Mac 2017
Tempat: Bilik S303 dan S304, IAB Bandar Enstek
Peserta: Staf IAB
Urus setia: Jabatan Pengurusan Inovasi dan Standard Latihan (JPISL)
Bengkel ini diadakan bagi menyemak dan mengemas kini dokumen kualiti IAB mengikut standard kualiti MS ISO 9001:2015. Disamping itu, peserta bengkel juga meneliti proses kerja supaya mengikut aliran kerja terkini. Arahan kerja, garis panduan dan borang-borang kualiti ditambah baik supaya prosedur kerja yang dihasilkan dapat menghasilkan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan dalaman dan luaran IAB.
Peserta bengkel dibahagi kepada 14 kumpulan dan dipilih berdasarkan kepakaran, pengetahuan dan pengalaman mereka dalam prosedur masing-masing. Sesi perbengkelan dibahagikan kepada tiga (3) bahagian iaitu taklimat berkaitan perubahan versi dan standard MS ISO 9001:2015 oleh Encik Mahathir Fansuri bin Azizan, perbincangan dalam kumpulan kecil dan pembentangan hasil bengkel bagi tujuan penambahbaikan. Hasil perbengkelan kemudiannya dikongsi dalam google drive.